SEREMBAN: Kebanyakan peralatan taman permainan di Taman Permai Fasa 2, di sini, rosak serta tidak sempurna, sekali gus berisiko membahayakan pengunjung taman itu terutama kanak-kanak.
Tinjauan Metroplus mendapati sebahagian besar peralatan permainan tidak boleh digunakan, malah kebanyakannya sudah berkarat yang boleh mengundang bahaya.
Lebih teruk, pihak tidak bertanggungjawab membakar beberapa bahagian peralatan permainan papan gelongsor, bangku batu dipecahkan, buaian berkarat dan rantainya putus serta sampah dibuang merata-rata tempat.
Kebanyakan alat permainan terutama buaian dan jongkang-jongkit sudah rosak sehingga menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan kanak-kanak yang menggunakannya.
Lebih menghairankan, kedudukan taman permainan berkenaan bersebelahan Pusat Rukun Tetangga, Taman Permai 2 itu.
Sebuah gazebo yang menjadi tempat pengunjung berehat bersama keluarga mengambil angin pula bocor dan tidak terurus.
Dua beradik remaja yang bersantai di taman permainan ketika ditemui Metroplus, Amirul Mohd Zin, 15, dan adiknya Mohd Asrul, 13, berkata, sudah lama keadaan taman berkenaan tidak terurus.
Menurut Amirul, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist ACS Seremban, di sini, walaupun keadaan taman permainan itu teruk, tetapi dia masih menjadikan tempat itu untuk berehat.
“Selepas mengulang kaji pelajaran di rumah biasanya di taman permainan ini tempat saya berehat. Taman ini dekat dengan rumah sebab itu saya datang sini,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, pihaknya sudah menerima aduan berhubung kerosakan dan perbuatan vandalisme di taman permainan di Taman Permai Fasa 2 itu.
Beliau berkata, pihaknya dalam proses melantik kontraktor menjalankan kerja pemulihan taman permainan berkenaan.
“Saya minta penduduk menjaga harta awam selepas taman permainan itu dibaiki kelak.
“Pihak MPS mungkin akan mencadangkan supaya mana-mana sukarelawan menjadi bapa angkat kepada taman permainan itu. Pada awal tahun ini, Majlis Perbandaran Nilai (MPN) sudah melaksanakan program bapa angkat taman permainan bagi mencegah vandalisme di daerah itu dan terbukti berjaya menurunkan aduan berhubung kes seumpamanya.
“Program bapa angkat ini akan diperluaskan ke Seremban. Kami bukan suruh mereka (bapa angkat) jaga taman permainan, tetapi kami hanya mahu maklumat sebelum kami ambil tindakan terhadap pelaku vandalisme,” katanya. By: Metro