Menangis Kereta Terbakar


MELAKA: “Api ketika itu amat marak dan asap tebal hingga menyebabkan saya tidak berani mendekati lokasi kejadian kerana bimbang berlaku letupan,” kata penjaga tempat letak motosikal dikenali sebagai Ho, 50-an, yang menyaksikan kebakaran tiga kenderaan di kawasan parkir berdekatan Medan Selera Newtown, di sini, semalam.

Kebakaran jam 1.10 tengah hari itu menimbulkan tanda tanya berikutan satu daripada kereta terbabit iaitu Nissan Sentra dipercayai tiba-tiba terbakar sebelum api merebak dan menyambar dua kereta berdekatan.


Kereta Nissan itu musnah manakala Perodua Kenari dan Ford Laser rosak akibat bahang kebakaran.

Tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada lebih teruk dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.


Menurut Ho, dia yang memeriksa kawasan tempat letak motosikal berdekatan tempat kejadian mencurigai sesuatu apabila ternampak asap tebal di kawasan terbabit. “Apabila diperiksa, saya terkejut melihat asap itu rupa-rupanya datang dari sebuah kereta yang marak terbakar di kawasan lot parkir berkenaan.


“Melihat keadaan itu, saya yang bimbang keadaan bertambah teruk menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Tinjauan mendapati seorang daripada pemilik kereta berusia 30-an gagal menahan sebak dan menitiskan air matanya selepas menyedari kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Pegawai Bomba Kanan II Low Liang Seong berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan awam, pada jam 1.16 tengah hari.


“Seramai enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikerah memadam kebakaran membabitkan tiga kereta berkenaan.

“Api berjaya dikawal dalam tiga tujuh minit dan padam sepenuhnya lima minit kemudian. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya. Menurut beliau, pihaknya bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut terutama mengenal pasti punca kejadian. By: Metro