Tanda Putera


Filem ini memaparkan kisah Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr. Ismail Abdul Rahman berusaha memulihkan negara susulan peristiwa pergaduhan antara kaum pada tahun 1969. 

Ia mengisahkan persahabatan akrab antara Tun Razak dan Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969. 

Tun Razak terpaksa menyimpan rahsia mengenai penyakit leukemia yang dihadapinya kerana tidak mahu keluarga tertekan dan bimbangkan keselamatan negara.

Mereka berdua berkongsi doktor. Bilik bacaan di rumah Tun Dr Ismail menjadi klinik rahsia bagi rawatan mereka oleh Dr Macpherson, tanpa pengetahuan sesiapa termasuk kaum keluarga Tun Dr Ismail sendiri. 

Tanda Putera berdasarkan kisah benar tragedi 13 Mei 1969 menampilkan Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak, Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Faezah Elai (Tun Rahah), Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin), Tunku Abdul Rahman (Kamarulzaman Taib), Sahee Shamsuddin (Najib Tun Razak), Razif Hashim (Johari Tun Razak), Ismaizal Yusoof (Tawfik Tun Ismail), Ali Steven Shorthose (Dr Macpherson) dan Norman Hakim (IGP Hanif). 

Ia dibantu Kavita Sidhu (Kara), Riezman Khuzaimi (Sarjan Aman), Kuza (Maimon), Zaefrul Nordin (Koperal Musa), Ika Nabella (Zarah), Zoey Rahman (Johan), Ahya U (Zaman) dan Alan Yun (Allen). 

Selain itu, filem sarat dengan emosi dan tragedi itu turut menampilkan pelakon undangan seperti Hasnul Rahmat (Tun Hussein Onn), Ida Nerina (Jah Steno), Sharifah Shahira (Guru Besar), Fizz Fairuz (Tan Sri Arshad Ayub), Nazril Idrus (Tun Dr Mahathir Mohamad), Khir Mohd Noor (IGP Abdul Rahman Hashim), Bell Ngasri (Datuk Harun Idris), Chew Kin Wah (Tan), Razali Hussain (Haji Ahmad Razali Mohd Ali), Douglas Lim (Leslie Cheah), Chealsia Ng (Catharine), Wong Sip Nen (bapa Allen), Nas-T (Najib Rahman) dan Aidil AF (Datuk Senu). 

Sebelum ini Shuhami dipetik media berkata beliau gembira apabila Shaberi Cheek menyokong filem tersebut untuk ditayangkan dengan segera. 

Menurutnya penundaan filem yang sepatutnya ditayangkan pada 15 November tahun lalu itu adalah terlalu lama dan sudah tibalah masanya untuk ia dipertontonkan kepada umum. 

“Apabila menteri membuat kenyataan meminta agar tayangan Tanda Putera perlu disegerakan, ia cukup menggembirakan hati saya. 

“Sekurang-kurangnya penat lelah saya bersama kru produksi serta pelakon berbaloi. 

“Sehingga pada satu tahap kerana terlalu kerap ditunda, kami benar-benar kecewa dan tidak mengharapkan apa-apa lagi sama ada ia akan keluar ke panggung atau tidak,” katanya.