Calon SPM, STPM terima hadiah dari PM


SELAYANG: Seramai 2,153 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 sekitar Selayang dan Rawang menerima ‘hadiah’ daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena peperiksaan yang berlangsung minggu depan.

Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Taman Templer, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, hadiah berbentuk keperluan peperiksaan seperti alat tulis itu bertujuan membantu pelajar membuat persiapan peperiksaan dengan lebih baik.


“PM ingin turun padang berjumpa semua pelajar SPM dan STPM untuk mengucapkan selamat berjaya dalam peperiksaan minggu depan.

“Bagaimanapun, disebabkan kekangan masa serta bilangan calon peperiksaan yang ramai, beliau mewakilkan wakil rakyat di setiap kawasan turun padang menyampaikan hadiah dan ucapan selamat daripadanya,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, di sini, semalam.


Selain SMK Darul Ehsan, empat sekolah lain yang terpilih menerima hadiah berkenaan ialah SMK Kepong, SMK Selayang Baru, SMK Rawang dan SMK Ideal Height.


Sementara itu, pelajar aliran sains, Kamarul Akmal Kamarulzaman, 17, menyatakan rasa gembira kerana mendapat hadiah sempena peperiksaan SPM. “Saya lebih bersemangat untuk menjawab peperiksaan memandangkan alat tulis yang digunakan nanti hadiah daripada Perdana Menteri,” katanya.

By: Harian Metro