Tak mungkin jadi ‘gajah putih’

BERSEDIA...Ahmad Phesal (tengah) menunggang basikal sebagai simbolik sempena OCBC Cycle Malaysia 2013.

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan semula Pasar Raja Bot atau Chow Kit yang dilaksanakan pada tahun depan tidak mungkin menjadi projek ‘gajah putih’ berikutan usaha kerajaan menjadikan kawasan itu sebagai pasar moden dengan dilengkapi Pusat Tranformasi Bandar (UTC) mini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, selain itu pelan pembangunan kawasan terbabit turut mengambil kira pandangan semua pihak menerusi perbincangan dilakukan sebelum ini, sekali gus menjadikan pusat tumpuan perniagaan itu lebih kondusif dan menarik.


“Kami sudah pun mengadakan inisiatif dalam mendapatkan pandangan daripada peniaga dan mengadakan sesi perbincangan. Kami pamerkan projek cadangan itu dan setiap pertimbangan dibuat berdasarkan saranan pihak berkenaan (peniaga). “Kami berpandangan bahawa untuk membangunkan semula Pasar Raja Bot ini memerlukan perubahan yang meluas, tetapi kami tidak boleh melaksanakan ini secara total, maknanya memindahkan mereka ini akan mengganggu perniagaan harian mereka,” katanya pada sidang media sempena penganjuran program perlumbaan basikal OCBC Cycle Malaysia 2013 membabitkan laluan baru sejauh 12.1 kilometer yang diadakan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pada 11 hingga 13 Januari tahun depan.

Aktiviti yang menyasarkan penyertaan 5,000 penunggang basikal itu akan merentasi mercu tanda Kuala Lumpur, selain menggalakkan pertumbuhan acara sukan mesra alam dan menarik minat pasukan korporat mengayuh sambil menderma dengan sasaran kutipan RM100,000.


Hadir sama, pengarah dan ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Berhad, Syed Abdull Aziz Syed Kechik.