Kecoh-Kecoh Orang Bunian Masuk Rumah Mawi

KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2013: Rumah bekas juara Akademi Fantasia musim ke-3 (AF3) dan pemenang gelaran Bintang Paling Popular sebanyak tiga kali, Mawi telah dipecah masuk oleh seorang buruh binaan dengan alasan ternampak orang bunian di kediaman penyanyi itu, kelmarin.

Laporan akhbar Harian Metro hari ini melaporkan, Mawi yang ketika itu berada di Sarawak telah dimaklumkan oleh keluarganya semalam ketika pulang berhubung kejadian itu.

"Kami sekeluarga trauma dengan kejadian itu dan terkejut apabila lelaki berkenaan memberitahu terpaksa memecahkan rumah kami selepas ternampak sepasang orang bunian.

"Saya tidak tahu dakwaannya itu benar ataupun tidak dan berserah sepenuhnya kepada Allah," kata penyanyi, Asmawi Ani, 32, atau Mawi menceritakan semula kejadian pelik di rumahnya, dekat Bangi Golf Resort, jam 2.30 petang Selasa.

Berdasarkan cerita oleh nenek, ibu mentua dan adik iparnya yang melalui detik-detik cemas bersama anaknya, Cahaya Malaika berusia setahun,

Mawi berkata sebelum kejadian, buruh berusia 40 tahun itu yang bekerja di tapak binaan berhampiran rumahnya sedang berehat seketika untuk makan tengahari.

Secara tiba-tiba lelaki itu menjerit seolah-olah ternampak sesuatu sedang menuju ke rumahnya.

Lelaki itu kemudian bertindak seperti dirasuk dan hilang pertimbangan sebelum memanjat pagar rumahnya seperti mengejar sesuatu.

Usaha lelaki itu bagaimanapun gagal kerana pagar rumahnya tinggi dan lelaki itu lantas meraung dan menjerit sekuat hati sehingga didengari penduduk serta polis bantuan yang berhampiran.

Pada saat itu juga lelaki itu sempat membaling batu ke rumah Mawi sehingga menyebabkan kerosakkan teruk pada pintu, tingkap dan dinding rumahnya.

Mawi memaklumkan akibat kejadian itu, dia telah menanggung kerugian lebih RM20,000.

Dia juga menambah, polis bantuan telah datang mencekup lelaki itu sekitar jam 2.40 petang dan keluarganya ketika kejadian telah bersembunyi di sebuah bilik akibat ketakutan.

Selepas kejadian, isteri Mawi yang baru pulang dari ibu kota atas urusan kerja telah membuat laporan polis di Balai Polis Bangi sekitar jam 5.30 petang.

Mawi bagaimanapun bersyukur kerana anggota keluarganya selamat manakala hasil kerugian akan ditanggung oleh majikan buruh tersebut.