Misha Omar akan bernikah Februari 2014

Selepas ditangguhkan September lalu, penyanyi, Misha Omar, semalam meleraikan tanda tanya ramai apabila mengumumkan bakal berkahwin dengan Firos Ezzwan Rossly, 31, Februari tahun depan. 

Bagaimanapun, tarikh sebenar majlis akad nikah di negeri kelahirannya, Kota Bahru, Kelantan, yang disusuli kenduri kesyukuran hanya dapat diputuskan selepas Aidilfitri. 

Misha atau nama sebenarnya, Samihah@ Aisha Omar, 31, mengakui lega selepas dapat berkongsi tarikh hari bersejarah mereka selepas pelbagai cerita negatif disebarkan pihak tertentu sebaik tertunda dua kali berikutan pertembungan jadual kerjaya. 


“Bukan niat kami mahu berahsia atau menangguhkan perkara baik. Sejujurnya, pada usia ini, saya sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri. Cuma, saya perlu faham situasi dan tuntutan tugas bakal suami apabila tahun lalu dia mengambil peperiksaan lesen juruterbang kanan mengendalikan pesawat Airbus A330. 

“Apabila jadualnya kembali longgar, saya pula sudah mempersetujui komitmen lain. Kini, kami sepakat memilih Februari 2014 kerana bulan itu amat istimewa. Februari ialah bulan kami bertunang,” katanya selepas majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta pengeluar cat jenama tempatan, Colourland Paints.