Tarikan lukisan 3D.

Lukisan dipamerkan sememangya ‘melekat’ di dinding, tetapi apabila dirakam dengan lensa kamera, ia seperti ‘hidup’ dan pelbagai perasaan bermain di minda saat anda memikirkan keunikan imej berkenaan.

Ia membuatkan pengunjung seolah-olah berada dalam situasi dan lokasi sebenar saat merakamkan kenangan bersama lukisan berkenaan.

Itulah keistimewaan seni lukisan tiga dimensi (3D) yang makin mendapat sambutan menggalakkan walau di mana sahaja ia dipamerkan terutama di kawasan tumpuan pelancong.
Situasi sama turut dirasai penduduk pekan Sungai Lembing dekat Kuantan, Pahang apabila Sg Lembing Three Dee Gallery (Galeri 3D) mula dibuka kepada orang ramai mulai November tahun lalu.



Penulis yang pertama kali berkunjung ke galeri berkenaan turut teruja apabila dapat merakam detik manis bersama figura seni mempertahankan diri terkenal dunia, mendiang aktor Bruce Lee dan potret Monalisa di Mr Bean.

Bukan mudah untuk bergambar dengan kedua-duanya biarpun hanya dalam bentuk 3D.
Selain itu, galeri yang mempamerkan 30 lukisan 3D bersaiz besar itu turut mengetengahkan beberapa produk pelancongan dan suasana kehidupan penduduk di pekan berkenaan serta imej yang mempunyai ‘hubungan mesra’ dengan masyarakat.

Pengurus galeri berkenaan Thomas Lee berkata, idea mewujudkan galeri lukisan 3D itu tercetus apabila melihat kebangkitan semula Sungai Lembing sebagai destinasi pelancongan selepas mengalami zaman gelap dengan berakhirnya aktiviti pelombongan bijih timah pada pertengahan 1980-an.