Aliff Aziz kecewa dengan Anne Ngasri

Episod cinta antara Aliff Aziz dan Anne Ngasri sudah pun berakhir, tetapi liputan media mengenai bekas pasangan kekasih ini nampaknya belum lagi surut.

Seperti yang diketahui, aktres tempatan ini sudah sah bergelar tunang kepada Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno berusia 40 tahun, Mohd Sumali Reduan dan nyata berita tersebut mengejutkan banyak pihak terutama sekali penyanyi kelahiran Singapura ini.

Aliff mengakui bahawa dirinya terluka apabila mengetahui bekas teman wanitanya itu mengikat tali pertunangan dan bakal diijabkabulkan pada 22 Disember depan.

Malah apa yang lebih memilukan, bekas pasangan kekasih ini pernah merancang untuk bernikah pada hujung tahun ini ketika masih bersama.

 "Memang perancangan itu menjadi, namun sayangnya, lelaki yang dipilih oleh Anne bukanlah saya tetapi orang lain.

"Sebelum ini Anne pernah berkata bahawa saya adalah cinta terakhirnya dan jika tiada jodoh di antara kami, dia akan berkahwin dengan sesiapa sahaja mengikut pilihan keluarganya," ujar penyanyi berusia 21 tahun ini.

"Saya sangat mencintainya. Oleh itu apabila hubungan kami tidak menjadi, ia benar-benar membuatkan hati saya terluka. 

"Sepanjang sebulan lebih saya berehat kerana masalah kesihatan dan pada masa yang sama, saya juga cuba menyembuhkan hati saya ini. 

"Tiada siapa yang boleh mengubatnya kecuali Allah. Saya memohon agar kesakitan yang saya lalui dapat dikurangkan dan berdoa untuk kebahagiaan Anne. Dia cukup sempurna di mata saya," kata Aliff ketika ditemui di sidang media majlis pengumuman Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012) di Holiday Villa, Subang Jaya baru-baru ini.