Artis Terus Bantu Palestin

AKTIVITI mengutip dana membantu saudara kita di Palestin terus giat dilakukan. Hari ini di Dataran TV Alhijrah, Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur berhampiran Masjid Negara, berlangsung acara besar membabitkan tujuh badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Palestin bergabung buat julung kali.

Ramai artis tempatan menjayakan majlis bermula jam 9 pagi sehingga 11 malam. Antaranya artis dari Usrah Fitrah, Heliza Helmi, Yatt Hamzah, Irma Hasmie, Salima Habibi; pelawak, pelakon dan pengarah Afdlin Shauki, Zain Saidin dan Zoey.

Sebelah malam pula acara kemuncak konsert yang menghimpunkan kumpulan nasyid Rabbani, UNIC, Saujana dan Hijjaz. Penyanyi lagu ketuhanan dari Indonesia yang popular dengan lagu zikir Hasbunallah, Yoga Al Ghazali juga sanggup turun bagi memeriahkan acara ini.

Dengarnya, Diana Amir akan deklamasi puisi dari karya A Samad Said yang menyentuh kemanusiaan dan penderitaan rakyat Palestin. Diana memang antara artis tempatan yang kuat berkempen untuk misi ini.

Kita patut kagum dengan sikap setiap artis ini yang tak kenal lelah terus membawa tabung tertera Demi Palestin semata-mata bagi mengutip derma.

Marilah sama-sama kita menderma sambil mengisi masa hujung minggu dengan menghadiri acara terbesar ini. Yang penting, kita semua bergabung atas nama persaudaraan membantu warga Palestin setakat termampu.